Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Pokok Getah Pertama Malaysia Berusia 145 Tahun di Kuala Kangsar

By 11 Januari 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Suzira Zainol Abidin (Ipoh)

KUALA KANGSAR, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Industri getah asli di Malaysia mula bertapak sejak 1877 apabila 11 anak pokok getah yang dibawa oleh H. J. Murton dari Taman Botani, Singapura ke negara ini berjaya ditanam dan subur dengan elok.

Biji benih getah ini pada asalnya dipungut dari lembah Hutan Hujan Amazon di Brazil dan disemai di Kew Gardens, England sebelum dibawa ke rantau Asia oleh Henry Nicholas Ridley.

Sembilan daripada 11 anak pokok getah dibawa ke Kuala Kangsar untuk ditanam dan mula berbunga pada 1880 dan mengeluarkan buah pada 1881.

Menariknya, salah satu pokok getah pertama negara yang ditanam itu masih teguh berdiri bersebelahan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar di Jalan Tun Razak, di sini.

Menurut Pegawai Korporat dan Pelancongan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Zunainah Zulkifli, pokok getah yang kini berusia 145 tahun tersebut mempunyai ketinggian 16 meter dengan lilitan batang sepanjang 1.7 meter dan lebar silara 13 meter.

“MPKK berperanan untuk memantau keadaan pokok dan penyelenggaraan dilaksanakan dua kali setahun bergantung kepada keperluan.

“Memandangkan struktur pokok utama telah rosak, tanggungjawab MPKK tertumpu kepada usaha memanjangkan jangka hayat pokok getah tertua ini,” jelasnya ketika dihubungi pagi tadi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda