Pelapor/foto: Noorsiah Mahmud
TAWAU, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Pusat pelupusan al-Quran pertama yang menggunakan proses pembakaran diwujudkan di Tawau.
Pengurus dan penyelaras Pusat Pelupusan Al-Quran Masjid Babus Saadah, Zulnizam Mohammad berkata tempat tersebut ditubuhkan hasil sumbangan umat Islam setempat.
“Sebelum pelupusan dilakukan, pemeriksaan akan dibuat bagi memastikan ia benar-benar perlu dilupuskan.
“Ia bukan terhad kepada al-Quran sahaja tetapi buku-buku yang mengandungi ayat al-Quran seperti buku teks yang terkandung ayat al-Quran perlu juga dilupuskan dengan cara terhormat.
“Al-Quran akan dibakar dalam mesin khas dan abunya akan dibuang ke laut. Kaedah pelupusan ini tentunya berbeza dengan buku-buku yang lain,” jelasnya semasa ditemui, di sini baru-baru ini.
Memuliakan al-Quran sebagai kalamullah adalah wajib bagi umat Islam apatah lagi sekiranya ia sudah tidak dapat digunakan lagi disebabkan al-Quran lama yang sudah reput, rosak, koyak dan sebagainya.
-ZS-