Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) mengambil inisiatif memberi bantuan serta mendekati ummah dan asnaf melalui aktiviti berbasikal.
Program Kayuhan Mahabbah di Masjid Felda Adela bersempena Kempen Saham Wakaf Johor, di sini semalam yang turut mempromosikan produk wakaf bermula dengan kayuhan ke rumah-rumah asnaf dan berakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) (Felda) Adela.
Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAIJ Sulaiman Ismail dalam ucapannya berkata program seperti ini dapat memberi pengetahuan kepada masyarakat tentang jenis-jenis wakaf.
“Terdapat beberapa jenis wakaf yang wujud seperti wakaf kebajikan khas, wakaf kebajikan am dan wakaf tunai. Masyarakat boleh memilih wakaf yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.
“Terima kasih kepada penduduk Felda Adela atas kerjasama yang diberikan sepanjang program ini,” katanya.
MAIJ turut menyumbangkan alat bantuan mengajar bernilai RM5000 kepada pelajar-pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK (Felda) Adela.
-ZS-