Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Inisiatif Menu Rahmah yang dilaksanakan kerajaan mampu membantu merancakkan ekonomi Labuan.
Menurut salah seorang warga Labuan yang ditemui semalam, Zamri Palin, 54, beliau merasakan inisiatif itu boleh memberi keuntungan atau situasi menang-menang antara peniaga dan pengguna.
“Saya merasakan jika Menu Rahmah ini diperluaskan kepada semua peniaga makanan ianya boleh membantu meningkatkan ekonomi Labuan kerana aktiviti perniagaan akan bertambah rancak,” katanya yang juga seorang pensyarah.
Bagi seorang penjawat awam, Asroh Sukardi, 56, inisiatif ini amat sesuai dalam situasi ekonomi yang kurang menentu bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Saya menyeru lebih ramai pengusaha makanan dilibatkan dalam Menu Rahmah untuk kita membantu masyarakat yang kurang berkemampuan,” jelasnya.
Mohamad Hafiz Ahmad, 19, pula berpandangan Menu Rahmah amat berguna kepada golongan pelajar sepertinya.
“Menu Rahmah ini bagus untuk pelajar menjimatkan perbelanjaan di asrama dan boleh menjimatkan perbelanjaan makan kami ketika keluar pada hari Sabtu atau Ahad,” katanya.
Sementara itu seorang peniaga makanan Faridah Karim, 55, turut menyokong usaha kerajaan membantu meringankan beban rakyat melalui program Menu Rahmah.
“Program ini baik untuk meringankan kos sara hidup rakyat memandangkan harga barangan yang meningkat selain saya juga boleh mendapat ‘saham akhirat’ apabila menjual makanan pada harga Menu Rahmah,” kongsinya.
Seorang Pengusaha Restoran, Shihabudheen, 39, berkata mereka menyajikan makanan yang seimbang untuk program Menu Rahmah.
“Kami sediakan makanan yang ada karbohidrat, protein seperti ayam atau ikan dan sayur untuk para pelanggan kami, kita mesti bagi sokongan kepada usaha baik kerajaan ini,” jelasnya.
-ZS-