Laporan/foto: Nurul Wahida Mohd Noor
PERMATANG PAUH, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Menangani cabaran kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang merupakan agenda utama negara bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak terbeban.
Pelbagai inisiatif diketengahkan oleh pihak kerajaan antaranya ialah Menu Rahmah yang diperkenalkan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Konsep Menu Rahmah ini digerakkan oleh para peniaga secara sukarela dengan menjual set menu makanan serendah RM5 kepada pelanggan.
Tinjauan lapangan Malaysia Aktif, di sini semalam mendapati semakin ramai peniaga yang mula menyahut seruan kerajaan dan turut serta membantu meringankan beban rakyat.
Menurut salah seorang pelanggan sebuah restoran francais Abd. Khalel Mustapha, 43, sajian Menu Rahmah yang dijual di kedai rangkaian francais seperti Burger King, Chat Time, Mokti’s, Old Town White Coffee dan lain-lain pada harga serendah RM5 setiap set hidangan adalah sangat murah dan berbaloi.
Sementara itu, seorang lagi pelanggan yang mencuba Menu Rahmah Azlina Pakarudin, 29, pula berkata set hidangan yang disediakan juga memenuhi cita rasa pengunjung dan mengenyangkan.
“Selain itu, menu ini juga sedikit sebanyak mengurangkan beban pengunjung yang datang dengan keluarga besar untuk menjamu selera,” katanya.
Rata-rata pengunjung menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dan berharap lebih ramai peniaga mengambil bahagian.
-ZS-