Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Timbunan Sampah Banjiri Pantai Mersing

By 2 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Mohd Hanif Ahmad

MERSING, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Banjir dan fenomena air pasang besar di Mersing menyebabkan lebih 150 tan timbunan sisa sampah terdampar di pantai daerah ini.

Keadaan berkenaan berlaku setiap kali musim tengkujuh. Namun kali ini ia berlaku lebih buruk apabila kawasan pantai sepanjang 1 kilometer berhampiran Bandar Mersing dipenuhi pelbagai sisa hanyut.

Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing (MDM) Mohd Norman Noh berkata, tahun ini jumlah sisa sampah yang dikutip melebihi jumlah tahun lepas iaitu sebanyak 136 tan.

“Jumlah ini dikutip dalam tempoh masa tiga hari sahaja berbanding tahun lepas iaitu sebanyak lima tan. Kira-kira 20 kali perjalanan lori diperlukan bagi mengangkut sisa berkenaan setiap hari.

“Selain timbunan sampah, kebanyakan sisa hanyut terbabit dipercayai bahan buangan kapal di perairan. Cara pelupusan maritim itu akan dirujuk agensi teknikal berkaitan,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Menurut Mohd Norman Noh lagi pencemaran sisa organik dan barangan itu dipercayai berlaku sejak 24 Januari lalu selepas ia dihanyutkan arus dan ombak besar ke pantai ini.

“Susulan itu pihak MDM terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan pantai yang dimulakan sejak semalam (Selasa) menggunakan jengkaut sebelum sisa diangkut menggunakan lori untuk dilupuskan di pusat pelupusan sampah.

“MDM mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan menjaga keselamatan diri ketika melakukan aktiviti mencari hasil laut di pesisir pantai di kawasan timbunan sampah susulan risiko ombak kuat dan cuaca tidak menentu,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda