Laporan/foto: Zurina Saad (Yan)
YAN, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Berada di Pulau Songsong yang tidak berpenghuni dan tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap mahupun gerai makan pastinya bakal memberikan suasana dan perasaan yang berbeza buat mereka yang ingin lari dari kesibukan kerja dan hiruk-pikuk bandar raya.
Pulau Songsong yang mempunyai keluasan sekitar 62 ekar berketinggian 118m dari aras laut dan jarak 4.5 batu nautika dari Jeti Sungai Udang berpotensi menjadi pusat pelancongan baharu Negeri Kedah.
Pulau ini mempunyai suasana semula jadi yang tenang, sangat sesuai untuk mereka yang ingin menghilangkan rasa tekanan selepas penat bekerja.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Rahim Abdullah, 58, berkata beliau memilih untuk bercuti bersama keluarga di pulau itu kerana percutiannya tidak memerlukan kos yang tinggi berbanding di tempat lain.
“Saya rasa tenang dan nyaman berada di pulau ini. Saya dapat menghabiskan masa bersama keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti memancing, mandi-manda dan selam snorkel,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
“Untuk ke Pulau Songsong dari Jeti Sungai Udang, ia mengambil masa 20 hingga 30 minit dengan menaiki bot yang boleh memuatkan 12 orang penumpang dengan kadar bayaran RM350 pergi dan balik,” katanya.
-ZS-