Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Waspada Haiwan Liar di JRTB

By 28 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Muhammad Amizan Lokman/Senaying Ahud (Hulu Perak)

GERIK, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan dengan jarak melebihi 100 kilometer menjadi laluan alternatif orang ramai dari utara ke pantai timur.

Walaupun disajikan dengan pemandangan indah kehijauan alam di sepanjang laluan JRTB di kawasan Hutan Simpan Amanjaya, Gerik, pengguna jalan raya ini diingatkan agar terus berwaspada.

Menurut Ketua Perhilitan Daerah Hulu Perak Mohd Edinoor Anuar Sukami, 37, banyak kes para pemandu berdepan detik cemas apabila terserempak dengan gajah liar di sekitar jalan tersebut.

“Kehadiran haiwan ini adalah perkara biasa yang selalu terjadi sejak dulu lagi, maka pengguna jalan raya diingatkan supaya tidak melakukan sebarang provokasi terhadap kumpulan gajah liar kerana haiwan tersebut boleh bertindak agresif.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti berbasikal pada waktu malam berikutan jalan tersebut merupakan laluan haiwan liar melintas,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Mohd Edinoor, Jabatan Perhilitan telah memasang papan tanda pelbagai saiz sebelum ini dan beberapa papan tanda baru ditambah bagi memberi peringatan dan panduan keselamatan kepada pengguna jalan raya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda