
Laporan/foto: Azfa Saffie (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan inisiatif Bakul Rahmah melalui Program Payung Rahmah yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada awal tahun ini.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari sejumlah 11,000 Bakul Rahmah akan diedarkan secara berperingkat yang menyasarkan 500 Ketua Isi Tumah (KIR) untuk 22 Parlimen di Selangor.
“Inisiatif Bakul Rahmah ini direalisasikan bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sekaligus mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan ini.
“Penyerahan sumbangan hari ini merupakan sebahagian payung rahmah dan kita berharap ia membantu mengurangkan tekanan khususnya semasa Ramadan dan menjelang Aidilfitri,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Penyerahan Bakul Rahmah Peringkat Negeri Selangor di Lotus’s Kuala Selangor semalam.
Sebagai simbolik Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Sri Dr Dzulkefly Ahmad mengetuai senarai Ahli Parlimen yang menerima sumbangan bakul rahmah bagi Daerah Kuala Selangor.
-ZS-