Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

190 Peladang Muda Ceriakan Jom ke Panggung Bersama Didi & Friends the Movie

By 16 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Norasilah Ibrahim (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Minggu terakhir cuti persekolahan diceriakan dengan acara Jom Ke Panggung bagi menyaksikan tayangan filem animasi tempatan Didi & Friends The Movie anjuran Peladang Muda Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang.

Tayangan secara percuma hasil kolaborasi bersama Pejabat ADUN Tanjung Surat, Warnakala Studio dan Peladang Outlet Pengerang itu disertai 190 Peladang Muda bersama ahli keluarga mereka di Pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) Heritage Mall, di sini semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat Aznan Tamin, industri kreatif negara semakin berkembang maju dan setanding dengan produk antarabangsa serta boleh digunakan ahli Peladang Muda sebagai alternative untuk menambah pendapatan.

“Semuanya logik dalam dunia animasi, pokok melompat dan Didi sendiri adalah ayam yang boleh bercakap justeru kreativiti beginilah yang Peladang Muda perlukan iaitu pemikiran di luar kotak.

“Peladang Muda perlu menggunakan kepelbagaian platform kreatif sebegini untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing. Modal bukanlah alasan utama kerana kerajaan negeri mahupun persekutuan menyediakan pelbagai geran bantuan bagi mereka yang memenuhi kriteria,” ujarnya.

Aqasha Azmir, salah seorang ahli keluarga Peladang Muda yang ditemu bual mengatakan watak-watak dan jalan cerita yang menarik menggamatkan gelak tawa di dalam panggung.

“Selalu tengok Didi di rumah, hari ini dapat tengok di pawagam beramai-ramai dengan kawan-kawan, dapat bertih jagung lagi,” katanya.

Turut hadir Pengurus Besar PPK Pengerang Azhar Din serta Pengerusi Majlis Belia Daerah Kota Tinggi Mohamad Khairul Nizam Abdul Rahman.

-ZS-

Tinggalkan komen anda