Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

5 Keluarga Terima Sumbangan Barang Keperluan Harian

By 8 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Juhannis Idris/Siti Nor Farhana (Batang Padang)

TAPAH, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak lima buah keluarga di kawasan pedalaman Pos Musoh Landing Zone (LZ) menerima sumbangan barangan keperluan harian sempena Program Ziarah Kasih anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Batang Padang, di sini semalam.

Program pendampingan sosial ini merupakan usaha JKM bagi memastikan perkhidmatan dan bantuan sampai kepada kumpulan sasar yang layak menerima bantuan bulanan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak Nor Tipah Manjin, berkata program seumpama ini turut memberi peluang kepada jabatan dan agensi yang terlibat untuk melihat sendiri apa yang diperlukan oleh kumpulan sasar terutama mereka yang berada di kawasan jauh di pedalaman.

“Kadangkala mereka bukan sahaja memerlukan keperluan asas, malah mereka turut memerlukan bantuan lain dari segi fisiologi, psikologi dan sosial.

“Selain JKM, antara penyumbang yang menghulurkan bantuan  kepada mereka termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA),” ujarnya.

Turut hadir Orang Besar Jajahan Batang Padang Toh Paduka Indera Datuk Haji Mat Rasid Ayob dan ADUN Chenderiang Choong Shin Heng.

-ZS-

Tinggalkan komen anda