Laporan/foto: Lizza Imelia/Siti Norzila (Larut Matang dan Selama)
SELAMA, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Berbekalkan semangat dan tekad untuk memajukan ekopelancongan di Sungai Bayor, Selama, seorang pesara tentera cekal mengusahakan rumah rehat miliknya.
Menurut pemilik Leret Hill Homestay, Shuid Shawai, 43, homestay yang bermula dengan sebuah rumah itu kini beroperasi dengan tiga buah chalet kayu serta dua buah bilik tambahan bersaiz ‘double queen’ lengkap dengan penyaman udara.
“Homestay ini berkonsepkan ala Inggeris serta dilengkapi jakuzi, bilik karaoke VIP, bilik snooker dan kolam renang.
“Ruangan santai sesuai untuk minum petang dan aktiviti BBQ pada waktu malam lengkap dengan cahaya lampu warna-warni turut disediakan kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui.
Menariknya, pengunjung juga berpeluang mendapatkan Pakej Ronda Kampung yang mana mereka akan dibawa melawat ke sekeliling kampung dan lata-lata berdekatan sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
“Antara yang menarik perhatian pengunjung adalah Lata Damak yang terletak berhampiran homestay ini. Pada pandangan saya, lebih mudah jika jalan ke lata tersebut diturap bagi memudahkan pergerakan pelancong ke sana.
“Besar harapan saya agar kerajaan dapat menyelitkan inisiatif di bawah Belanjawan 2023 untuk membantu pengusaha ekopelancongan seperti saya khususnya di Selama, Perak,” tambahnya yang juga Rakan Strategik Majlis Daerah Selama (MDS).
Setakat ini, Shuid hanya mempunyai seorang pembantu selain turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut dengan harga yang berpatutan.
-ZS-