Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Hospital Cyberjaya Memanfaatkan 282,000 Penduduk Sepang

By 10 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Tengku Syarinah Tengku Mustapa/Hazlina Tajuddin (Sepang)

CYBERJAYA, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Hospital Cyberjaya merupakan projek reka dan bina dengan peruntukan kos sebanyak RM508.8 juta di atas tanah seluas 12.82 ekar di Bandar Cyberjaya yang akan dimanfaatkan lebih 282 ribu orang penduduk di Daerah Sepang dan kawasan sekitar.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, berkata komitmen kerajaan untuk menyediakan fasiliti yang terbaik untuk rakyat.

“Hospital Cyberjaya adalah bukti kesungguhan dan komitmen Kerajaan untuk terus membangun dan menyiapkan fasiliti kesihatan bagi membolehkan rakyat menikmati faedah akses kepada perkhidmatan kesihatan yang baik dan lebih berkualiti,” katanya.

Menurutnya, hospital tersebut telah memulakan operasi pada 11 November tahun lalu yang menempatkan sembilan tingkat serta memuatkan kapasiti 288 katil dan beroperasi sebagai hospital pakar utama dengan perancangan untuk 14 disiplin kepakaran.

“Ia juga merupakan hospital pakar utama yang menyediakan perkhidmatan kepakaran yang disokong dengan peralatan dan teknologi yang canggih serta dilengkapi dengan lapan dewan bedah, termasuk dua dewan bedah untuk operasi oftamologi dan ENT,” ujarnya.

Hospital Cyberjaya ini telah dirasmikan Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, semalam.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

-ZS-

Tinggalkan komen anda