Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Penyandang Johan Tilawah Al-Quran tahun lalu dinobatkan sebagai juara sekali lagi di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Ke-66.
Johan Qari telah dimenangi oleh Mohamad Syaheed Sabri, 30, berasal dari Raub yang merupakan pensyarah di Maahad Tahfiz Negeri Pahang tidak menjangkakan kemenangan ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur atas kemenangan ini yang merupakan rezeki kerana persaingan yang begitu sengit pada tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Siti Fatimah Mohd Noor, 20, yang merupakan pelajar tahun satu di Maahad Tahfiz Negeri Pahang pula tidak menyangka akan bergelar juara lagi tahun ini.
“Semua peserta qariah hebat-hebat dan tidak sangka dapat menyandang sekali lagi gelaran pada tahun ini,” katanya yang akan memantapkan bacaan dan bersedia untuk ke pertandingan peringkat kebangsaan nanti.
Naib Johan dimenangi oleh Ahmad Burhanuddin Abdul Aziz dari Jengka dan tempat ketiga disandang oleh Jalaluddin Hashim, dari Bera, manakala Johan Qariah pula telah disandang oleh Siti Fatimah Mohd Noor berasal dari Kuantan, tempat kedua dimenangi oleh Nurhaizi Hamzah dari Cameron Highlands dan tempat ketiga jatuh kepada Nurul Saadah Mohammad Zaini.
Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang ini telah disempurnakan oleh Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Haji Wan Rosdi Wan Ismail dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan dan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
-ZS-