
Laporan/foto: Irina Abd Samad/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Penyertaan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) daripada kendera saji menjadi tumpuan warga kota raya Kuala Lumpur.
BRR membabitkan lapan kendera saji di Jalan Raja dan 33 di belakang Kompleks Campbell serta di kawasan letak kenderaan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini beroperasi setiap hari dari pukul 4 petang hingga 2 pagi.
Setiap peniaga perlu menyediakan satu Menu Rahmah yang ditawarkan bermula dari pukul 5 petang hingga 8 malam di samping menu lain pada harga biasa.
Peniaga nasi ayam goreng kunyit, Farah Ain, 32, berkata jualannya boleh mencecah lebih dari 50 bungkus sehari jika tidak hujan.
Seorang peniaga roti john Mohammad Shawal Mahyuddin, 34, berkata tidak semua orang mampu untuk membeli roti john bersaiz besar.
“Jadi, dengan adanya harga Rahmah orang ramai dapat membelinya walaupun bersaiz sederhana.
Pembantu peniaga serunding dan kuih raya, Azhad, 20, pula memaklumkan beliau tidak pernah menjual Menu Rahmah sebelum ini.
“Percubaan pemilik perniagaan berhasil apabila jualan 40 gram serunding ayam atau daging beserta empat biji ketupat palas sebekas mendapat sambutan orang ramai,” katanya.
“Saya pertama kali mencuba Menu Rahmah dan harga RM5 untuk roti john adalah sangat berpatutan,” kata Syafika, 33, dari Cheras.
Sebanyak 38 lokasi BRR di seluruh negara dan tiga dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Usahawan Food Truck Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Persatuan Usahawan Food Truck Masjid India.
-ZS-