
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
ARAU, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Walaupun baru sehari berada di bulan Ramadan, namun ketupat palas Norah Ali sudah mula menerima tempahan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengusaha makanan Norah Ali, 55, dari Kampung Kuala Tunggang, Padang Siding, di sini berkata rendang, ketupat dan sambal yang dimasaknya menggunakan kayu api.
“Saya memasak secara tradisi menggunakan kayu api dan menggunakan santan segar dari pokok kelapa yang ditanam di hadapan rumah.
“Ia memberikan suatu kepuasan dalam menyediakan juadah makanan, memberikan aroma memikat selera dan juga kelazatan makanan yang dimasak,” ujar beliau ketika ditemui di rumahnya.
Menurut Norah makanan yang sering ditempah oleh pelanggan adalah nasi lemak yang dibungkus bersama daun pisang dan juga ketupat palas dengan pelbagai inti seperti kacang, jagung dan juga pulut hitam.
Norah yang dibantu anak-anaknya bersyukur kerana setiap hari menerima tempahan daripada pelanggan.
“Mungkin makanan yang dimasak dengan menggunakan kayu api memberikan lebih keenakan dan kelainan kepada mereka,” katanya.
-ZS-