Laporan/foto: Mohd Hizami Mohd Hanip (Petaling)
DAMANSARA, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melahirkan penghargaan terhadap usaha Restoran McDonald’s Malaysia menyediakan Menu Rahmah bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup.
“Ini membuktikan bahawa tanggapan negatif yang menyatakan menu ini merupakan makanan kelas rendah adalah salah sama sekali.
“Sasaran utama kita adalah kepada pihak yang sangat memerlukan makanan tanpa mengira waktu dan berharap tindakan ini akan menarik lebih ramai penyertaan pemain industri untuk turut serta melaksanakan inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Menu Rahmah di restoran tersebut di Mutiara Damansara, di sini hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia Melati Abdul Hai berkata tujuan dilancarkan Menu Rahmah di restoran itu adalah untuk memastikan setiap masyarakat dapat menikmatinya pada setiap masa di 340 cawangan restoran berkenaan pada kadar RM5 sahaja.
“Menu Rahmah di restoran ini akan menawarkan tiga pilihan iaitu Burger Ayam dan Teh Ais Limau (cawan kecil), Bubur Ayam (saiz kecil) dan Teh Ais Limau (cawan kecil), McEgg serta Teh Ais Limau (cawan kecil) bermula hari ini,” katanya.
-ZS-