Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pasangan Warga Emas Mampu Siapkan 60 Pasang Baju Melayu Menjelang Lebaran

By 13 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Menjelang bulan Ramadan tukang jahit kebiasaannya tidak lagi menerima tempahan kerana khuatir tidak dapat menyiapkan pakaian sebelum tiba hari lebaran.

Pasangan suami isteri warga emas, Ahmad Yusuf, 68, dan Fadilah Salleh, 64, dari Kampung Tok Che Dol, Batang Merbau, di sini tidak lagi menerima tempahan disebabkan kesuntukan masa dan sedang menyiapkan 60 pasang baju Melayu sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Saya hanya menjahit baju Melayu dengan kadar upah RM130 sepasang, tidak termasuk kain. Saya tidak mengambil tempahan untuk menjahit baju kurung wanita kerana rekaan yang pelbagai bentuk dan bunga serta sukar untuk disiapkan dalam tempoh singkat,” kata Fadilah.

“Suami saya hanya membantu sekadar mampu kerana beliau seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) kurang pendengaran dan pemegang kad OKU,” katanya.

Menurut Ahmad Yusuff beliau hanya membantu membaiki atau menyiapkan baju dan seluar apabila diminta isterinya.

Pasangan yang ditemui di Gerai Majlis Daerah Tanah Merah, Dataran Pechong, di sini dan mempunyai empat orang anak itu sentiasa mendapat tempahan kerana mampu menjahit mengikut kehendak dan citarasa pelanggan.

Sementara itu seorang rakan beliau, Shaari Mat, 59, dari Alor Pasir, memuji dan kagum dengan kehalusan, kekemasan dan kecantikan jahitan hasil kerja tangan orang lama seperti mereka membuatkan kebanyakkan pelanggan selesa apabila memakainya.

“Saya kagum dan terpesona dengan hasil jahitannya yang bermutu dan kemas hasil bimbingan dan bantuan program Usahawan Bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Kelantan,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda