Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Penjawat Awam Diberi Kesedaran Cegah Kanser

By 9 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Afnan Hakimi/Norhasirah Deris (Marang)

MARANG, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Kira-kira 500 penjawat awam di daerah ini hadir dalam forum kesedaran kanser Kesan Awal, Cegah Mudarat sempena Sambutan Hari Kanser 2023 Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, di sini pagi tadi.

Dengan tema rapatkan jurang penjagaan, program yang bermula pada pukul 8.00 pagi di Dewan Utama Majlis Daerah Marang dimulakan dengan aktiviti ‘chair robic’.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Kasemani Embong, berkata penganjuran program bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai kanser.

“Kesedaran mengenai kanser menuntut semua pihak mengambil bahagian dalam memerangi kanser sekaligus ia dapat menyelamatkan ramai pesakit daripada kematian akibat kanser,” katanya.

Beliau turut berharap agar orang ramai yang hadir mendapat manfaat daripada penganjuran program seperti ini.

“Tahniah dan syabas diucapkan bagi penganjuran program pada hari ini kerana ia merupakan suatu usaha murni yang diadakan untuk meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat mengenai penyakit kanser,” katanya.

Pelbagai aktiviti yang dianjurkan meliputi pelbagai komponen daripada saringan penyakit khususnya kanser, kaedah rawatan, termasuk bentuk bantuan yang diberikan oleh agensi luar.

Turut diadakan gerai pameran melibatkan agensi kerajaan dan seluruh pejabat kesihatan di negeri Terengganu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda