
Laporan/foto: Mohd Alihanafiah/Muhamad Amsyar (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Surat mahkamah, perjanjian tanah atau apa sahaja dokumen, semua boleh.
Itulah kepakaran yang dimiliki ‘petition writer’ atau penulis petisyen yang masih gigih menyediakan perkhidmatan tersebut di Padang Speedy, di sini.
Pesara kerajaan, Osman Sheikh, 73, bersama isterinya memilih untuk berkhidmat sebagai penulis petisyen dan beroperasi di hadapan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak (PDTHP) dengan hanya menggunakan mesin taip bagi menyediakan surat mengikut kehendak pelanggan.
“Selain surat-surat rasmi dan permohonan, pelanggan juga meminta bantuan untuk mengisi borang bagi kegunaan di pejabat tanah dan mahkamah.
“Saya sudah berkhidmat di sini selama lebih kurang 20 tahun. Pelanggan yang datang ke sini semua daripada pelbagai kaum dan peringkat umur,” katanya yang dahulu pernah berkhidmat di PDTHP.
Haris Mohd Nor, 73, penulis petisyen di lokasi sama, berkata hasil daripada perkhidmatannya mampu menjana pendapatan hampir RM3,000 sebulan.
“Harganya bergantung kepada jenis surat. Sebagai contoh, harga untuk surat pindah milik ialah RM50, manakala surat tunjuk sebab dan surat cuti pula RM5,” tambahnya yang pernah bertugas sebagai kerani di Mahkamah Syariah Teluk Intan.
Seorang pelanggan yang ditemui, Azuddin Ismail, 43, memberitahu dia dan keluarga sering menggunakan perkhidmatan penulis petisyen di situ.
“Sejak kecil, saya sering mengikut arwah ayah ke sini untuk buat surat.
“Saya harap ada pelapis untuk meneruskan kerja ini. Walaupun sekarang zaman semakin canggih, perkhidmatan mereka masih relevan kerana memudahkan urusan kita dengan pejabat kerajaan,” tambahnya.
-ZS-