Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Operasi Keselamatan Makanan Sasar Peniaga Bazar Ramadan

By 31 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juhannis Idris (Tapah)/Syahida Mohd Zin

TAPAH, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 77 peniaga bazar Ramadan diperiksa sempena Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Perak 2023, di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Perak Sivanesan Achalingam berkata, operasi ini merupakan acara tahunan yang dijalankan pada bulan Ramadan yang bertujuan memastikan pengendali makanan mematuhi tahap kebersihan dan keselamatan makanan.

“Pemilik premis dan pengendali makanan boleh dikenakan notis jika didapati memiliki kesalahan seperti tidak memakai apron, tidak menghadiri kursus Latihan Pengendali Makanan, tiada suntikan tifoid dan tidak memenuhi etika pakaian pengendali makanan serta kebersihan diri seperti yang termaktub di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983,” katanya yang merasmikan majlis pelancaran tersebut di Bazar Ramadan Tapah.

Selain menjalankan pemeriksaan dan pensampelan makanan, Sivanesan turut mengedarkan cenderahati berupa topi dan apron kepada peniaga.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Perak Dr. Sirajuddin Hashim, Pegawai Daerah dan Tanah Batang Padang Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah Ahmad Roslan Mohamed Nazir.

-ZS-

Tinggalkan komen anda