Laporan/foto: Nor Juliana Jamri/Noor Sazarina Mohd Noor (Hulu Langat)
HULU LANGAT, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai sejuta pelajar di Selangor bakal menerima perlindungan insurans secara automatik bermula sesi persekolahan yang akan dibuka 20 Mac depan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembiayaan premium daripada dana Kerajaan Negeri itu melibatkan murid tahun satu hingga tingkatan enam termasuk pelajar sekolah swasta.
“Insya-Allah sebelum Ramadan kita aturkan secara automatik anak-anak yang pergi sekolah akan berdaftar dengan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) bagi perlindungan diri,” katanya di Jelajah #Kita Selangor Penyayang Hulu Langat di sini semalam.
INSAN adalah polisi insurans kemalangan diri berkumpulan untuk penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.
Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.
Jelajah Kita Selangor Penyayang diteruskan ke Kuala Langat bertempat di Banting Waterfront, Kuala Langat.
-ZS-