
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG BARU, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Waris mangsa kemalangan jalan raya bulan lalu, mendiang Lee Eng Dong, 61, menerima pencen penakat dan faedah pengurusan mayat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Mendiang yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia ketika bertugas melayakkan balunya, Edna Hipolito Amos, 58 bersama empat anaknya menerima bantuan kewangan daripada Perkeso.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar menyeru para majikan supaya mencarum dalam Perkeso untuk pekerja mereka yang berumur lebih 60 tahun demi perlindungan mereka dan keluarga sekiranya terjadi musibah berkaitan pekerjaan.
Katanya, tanggapan orang ramai bahawa Perkeso hanya untuk mengambil caruman bukan membantu pekerja adalah salah.
“Di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) majikan perlu membayar Caruman Jenis Kedua bagi pekerja yang berumur lebih 60 tahun, iaitu sebanyak 1.25 peratus daripada gaji bulanan pekerja tersebut, untuk perlindungan Skim Bencana Pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menziarahi serta menyerahkan cek faedah Perkeso kepada keluarga mendiang Lee Eng Dong, di sini hari ini.
Sivakumar turut menasihatkan majikan dan pekerja untuk membudayakan amalan pencegahan kemalangan di tempat kerja mahupun di jalan raya.
“Pada tahun lalu, 45.7 peratus daripada 70,948 jumlah kemalangan pekerjaan yang dilaporkan kepada Perkeso adalah melibatkan kemalangan jalan raya.
“Dalam tempoh tersebut, 70 peratus (651 kes) daripada 929 kemalangan maut melibatkan pekerja yang dalam perjalanan atau berulang-alik ke tempat kerja,” katanya.
Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Bahagian Sinergi Rahmat Ismail dan Pengarah Perkeso Kuala Lumpur Asri Ngosman.
-ZS-