Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Najib Mohaini
JOHOR BAHRU, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dicadang menjadi lokasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada pelajar yang terjejas banjir di Johor.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedia berbincang bersama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor berkenaan cadangan ini dalam masa terdekat.
“SKMM juga akan mengenal pasti sekolah-sekolah di kawasan yang terkesan akibat banjir yang mengalami gangguan rangkaian telekomunikasi dapat diselesaikan segera sebelum bermulanya sesi persekolahan minggu hadapan.
“Ketika ini, sebanyak 80 daripada 160 menara telekomunikasi yang terkesan akibat banjir di negeri ini telah dihidupkan semula dan bakinya akan diselesaikan dengan segera,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan misi bantuan banjir dan bantuan kelengkapan persekolahan kepada mangsa banjir di Dewanraya Kampung Sungai Tiram, Tebrau, di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Mohd Sukari Ab. Hamid, Pegawai Daerah Johor Bahru Muzaldin Mohamed, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram Azizul Bachok, Penghulu Mukim Sungai Tiram Mohd Afiff Mohd Adzhar, ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital serta penduduk setempat.
-ZS-