Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru
JOHOR BAHRU, 17 Apr (Malaysiaaktif) — Cadangan penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada awal tahun 2026 bakal menjadi kenyataan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu, berkata sekarang adalah fasa proses membuat kajian penyusunan semula operasi di bawah KPWKM yang melibatkan agensi dan jabatan serta rundingan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan akan dijalankan sebelum mendapatkan kelulusan.
“Insya-Allah kita yakin dan percaya jabatan ini akan beroperasi seawal 2026 dan menjadi salah satu agensi lagi di bawah kementerian ini.
“Doakan kami dipermudahkan dalam segala urusan dan berjaya mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak dengan jayanya serta dapat direalisasikan seperti yang dirancang,” katanya ketika sidang media di Asrama Akhlak (L) Kempas selepas merasmikan Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2023 anjuran Yayasan Petronas, pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Norazman Othman, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor Mohamad Hapil.
-ZS-