Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Apabila tiba bulan Ramadan, pembuat ketupat palas, Aziz Musa, 54, tidak menang tangan menyiapkan tempahan ketupat bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Beliau yang juga pesara kerajaan dibantu oleh anaknya, Nurul Aini Musa, 20, membuat ketupat di rumahnya di Kampung Surau Haji Yaakob, Bukit Payong, Marang, dekat sini.
Ketupat palas dijadikan sajian utama pada pagi Hari Raya Aidilfitri selain juadah untuk berbuka puasa bagi kebanyakan penduduk di Terengganu dan Kelantan.
“Setiap kali Ramadan, saya menerima tempahan antara 15,000 hingga 18,000 biji ketupat. Saya pernah menerima tempahan sehingga 50,000 biji ketupat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.
“Pada tahun ini saya terpaksa mengurangkan tempahan kerana ingin menumpukan tugas lain sebagai pengurut terapi,” katanya yang juga pengusaha Pusat Refleksologi 3R.
Bagaimanapun, beliau tetap melayan permintaan terutama rakan serta pelanggan tetap yang meminta beliau membuat ketupat palas.
Katanya, kemahiran membuat ketupat palas diwarisi daripada arwah ibu dan neneknya yang sememangnya terkenal sebagai pembuat ketupat palas di kampung itu.
“Untuk membuat ketupat palas tidaklah begitu cerewet selain bahan asas yang ringkas seperti tepung pulut, santan dan garam selain daun palas.
“Daun palas diperolehi daripada penduduk kampung dan dibeli dengan harga RM25.00 untuk 100 pelepah daun palas,” katanya.
Menurut Aziz beliau memerlukan kira kira 1,000 pelepah setiap kali Ramadan.
-ZS-