Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Rani Kulup Turun Padang Edar Sumbangan di PPS Terpilih

By 9 April 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Sekretariat Gabungan NGO Bertindak dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia telah menganjurkan program penyampaian kotak makanan kepada mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dan DUN Bekok, kelmarin.

Sumbangan berbentuk keperluan dapur seperti beras, tepung, susu, gula dan sebagainya diberikan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Sungai Gatom mewakili Dun Bekok (130 penerima) dan PPS SJKC Ai Cun serta PPS Sekolah Kebangsaan Tenang mewakili DUN Tenang (100 penerima).

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup, berkata di bulan Ramadan ini mereka telah memilih kawasan Labis merangkumi DUN Tenang dan DUN Bekok sebagai lokasi penyerahan sumbangan.

“Kami telah menerima permintaan rakyat agar mana-mana pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diluar sana datang membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Pihak kami sebagai badan sukarelawan yang tidak mempunyai dana khas tetapi kami menjadi orang tengah bagi menyalurkan bantuan jika ada NGO lain di luar sana ingin memberi sumbangan atau kewangan kepada kami untuk terus disampaikan kepada mangsa banjir,” ujarnya.

Salah seorang penerima bantuan, Misnah Darudi, 55, mengucapkan terima kasih kepada pihak NGO yang datang dari jauh menghantar sumbangan kepada warga sekitar walaupun banjir sudah reda lebih dari sebulan.

Seorang lagi penerima bantuan, Abd Aziz Jaafar, 63, menyatakan rasa terharu dengan kesanggupan pihak Sekretariat Gabungan NGO Bertindak yang diketuai oleh Abdul Rani Kulup bersama ahli-ahlinya yang turun padang menyerahkan sendiri sumbangan mangsa banjir di sini.

“Saya berasa syukur dan berterima kasih kepada NGO yang hadir pada hari ini serta memilih kampung kami sebagai satu lokasi persinggahan bagi menyerahkan bantuan kepada mangsa,” kata Ketua Kampung Sungai Gatom, Saadon Virdani.

Turut hadir Ahli DUN Tan Chong dan pegawai khas Ahli DUN Tenang Mohd Rassid Jumat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda