Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Sumbangan sebanyak RM1,105,000 oleh kerajaan negeri Johor telah disalurkan kepada masjid dan surau bagi daerah Segamat, Muar dan Tangkak di Masjid Jannatul Firdaus Kampung Jawa Segamat, Khamis lalu.
Pegawai Daerah Segamat Mohd Masni Wakiman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Negeri Johor yang telah mengeluarkan peruntukan yang besar bagi menyalurkan bantuan kepada sekolah agama, masjid dan surau yang terjejas disebabkan banjir baru-baru ini.
“Jika dilihat kesan banjir pada awal Mac yang lepas, kebanyakkan premis yang saya nyatakan tadi mengalami kerosakan teruk antaranya ialah perabot sekolah, perabot masjid surau, buku-buku pelajar, naskhah-naskhah al-Quran dan sebagainya,” ujarnya.
Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Jamaludin A. Hamid, berkata banjir yang melanda negeri Johor kali ini luar biasa dengan taburan air hujan diluar jangkaan dan menyebabkan beberapa daerah mengalami banjir yang amat teruk terutama daerah Segamat.
“Kerajaan negeri telah menyalurkan dana khas bagi membantu membaik pulih atau mengantikan mana-mana peralatan yang rosak dan musnah akibat bencana banjir,” katanya semasa menyampaikan ucapan.
Kesemua wakil sekolah, masjid dan surau yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan mereka dalam membantu meringankan beban.
Selain penyerahan cek cura kepada penerima, majlis diselitkan juga dengan sesi tazkirah oleh Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor Yosree Ikhsan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Pemanis Anuar Abdul Manap, Pegawai Daerah Segamat Mohd Masni Wakiman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat Yang Mulia Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria, Pentadbir Tanah Segamat Mohd Helmi Saari dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Mohd Taufik Shamsudin.
-ZS-