Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 50 pelajar Kolej Komuniti Kemaman dan komuniti setempat telah menyertai Program ‘Jom Baca Bersama untuk 10 Minit’ yang dianjurkan oleh Perpustakaan Desa Kampung Darat, Kijal, di sini hari ini.
Menurut Penyelia Perpustakaan Desa Zon 10 Isdawanam Mamat, 41, program ‘Jom Baca Bersama untuk 10 Minit’ diadakan secara serentak di seluruh negara bertujuan menerapkan nilai dan budaya cinta akan buku dan ilmu.
“Dalam tempoh singkat antara pukul 11.00 pagi hingga 11.10 pagi, semua individu, persatuan dan komuniti digalakkan untuk berhenti sebentar melakukan aktiviti untuk membaca bahan bacaan selama 10 minit,” jelasnya.
Pelajar kolej tersebut Muhammad Aiman Zikri Zulkifly, 19, berkata program ini bagus untuk golongan belia supaya menjadikan tabiat membaca sebati dan menjadi satu amalan dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, pensyarah Kolej Komuniti Kemaman, Norlaili Abdullah, 41, menyokong segala usaha yang dilakukan pihak berkaitan bagi menjayakan program ini.
“Dengan hanya 10 minit, ia berjaya membudayakan amalan membaca di semua peringkat usia dan golongan,” katanya.
-ZS-