Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhammad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Malaysiaaktif) – “Sambutan Hari Belia Negara ini bukan sekadar satu perayaan dan perhimpunan semata-mata, tapi ia adalah satu hari di mana peranan, martabat dan darjat belia diangkat dan diraikan kerana mereka ini merupakan pemangkin dan masa depan negara kita,” kata Penasihat Majlis Belia Kawasan Lembah Pantai Tengku Datuk Zuhri Tengku Abdul Aziz.
Menurut Tengku Zuhri, pengiktirafan Hari Belia Negara menunjukkan betapa pentingnya peranan belia dalam mencorak hala tuju dan kepimpinan negara.
“Sebagai penerus legasi, tenaga dan idealisme anak-anak muda ini yang bakal melakar dan memperkukuh pembangunan ekonomi serta masa depan Malaysia,” kata beliau ketika berucap merasmikan Program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS) dan Sambutan Ambang Hari Belia Negara 2023 Peringkat Parlimen Lembah Pantai, di sini semalam.
Dalam pada itu program anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (WPKL) ini juga menjadi wadah dalam melahirkan generasi muda yang menjiwai konsep Malaysia MADANI.
Sesi taklimat dan perkongsian pandangan melibatkan 40 mahasiswa Universiti Malaya turut diadakan selain aktiviti kemasyarakatan gotong-royong membersihkan Kebun Kejiranan Bandar Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL) bersama komuniti setempat di PPR Seri Cempaka.
Pada masa yang sama Tengku Zuhri juga turut menyantuni 55 penghuni yang memerlukan serta asnaf di sini dengan penyampaian sumbangan bakul Syawal berupa barangan keperluan.
Turut hadir Pengarah Penerangan WPKL Lim Ann Teck, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WPKL Asmori Sha’ari dan Pengerusi Majlis Belia Kawasan Lembah Pantai Khairil Roy Azuan Hj Kamarudin.