Laporan/foto: Mohd Shazreen Suradi
MUAR, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor berjaya melaksanakan Program Jerayawara dan Pengenalan JIHAD (Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah) bersempena Sambutan Hari Antidadah 2023 di Dataran Tanjung Emas, di sini baru-baru ini.
Objektif program ini antaranya ialah mempromosikan JIHAD bagi memperluaskan liputan penyampaian mesej antidadah, program pencegahan dan mempertingkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab membanteras dadah.
“Setiap lapisan masyarakat harus sedar bahawa dadah adalah masih musuh nombor satu negara dan perlu dibanteras secara holistik serta konsisten terutamanya dalam era kewujudan dadah baru atau disebut sebagai NPS (New Psychoactive Substances) yang semakin membimbangkan,” ujar Pengarah AADK Johor Azli Ubin.
Program yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan pelbagai jabatan seperti Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan dan Jawatankuasa Komuniti Setempat
Turut diadakan unit promosi dan pameran dari pelbagai jabatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon dalam ucapan perasmiannya percaya peranan dan tanggungjawab memerangi dadah bermula sejak dari rumah sehinggalah ke peringkat komuniti.
“Kerajaan telah merangka pelbagai usaha untuk menyokong matlamat ‘Dadah Terkawal 2025’ di seluruh negara. Menerusi strategi JIHAD, peranan ini merupakan salah satu elemen dalam memastikan Matlamat Dadah Terkawal 2025 dapat dicapai selari dengan Teras Ketiga Agenda Maju Johor iaitu Jaringan Sosial.
“Saya berharap agar masyarakat menghapuskan stigma negatif terhadap bekas penagih dadah dan bersama-sama memberikan sokongan moral kepada mereka agar dapat kembali ke pangkuan masyarakat dan seterusnya dapat mengekalkan kepulihan dan membebaskan mereka dari najis dadah,” katanya.
Menurut Ketua Jabatan Teknologi Kimia dan Makanan Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail Ts. Sazaliana Sapian program seperti ini wajar diteruskan dan diperluaskan kepada setiap lapisan masyarakat.
“Program seperti ini juga dapat menyelamatkan pelajar-pelajar agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
-ZS-