Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Cuaca yang agak panas ketika ini serba sedikit menjejaskan tanaman petani. Kekurangan sumber air berkemungkinan akan menyebabkan tanaman mati atau terbantut dan menjejaskan pendapatan petani.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Segamat Mohamad Hanafy Mohamad Nordin, berkata kadar pengeluaran hasil semakin menurun (melawas) akibat kurang hujan dan ini juga menjejaskan pendapatan petani.
Katanya, rata-rata petani mengurangkan aktiviti kerja luar bagi mengurangkan risiko strok haba dan sebagainya.
Beliau berkata demikian dalam Program Ziarah Marhaban, Semarak Aidilfitri 2023 secara berkumpulan yang melibatkan kesemua barisan ahli jemaah pengarah PPK di sekitar Segamat, baru-baru ini.
Menurut salah seorang rombongan marbahan yang juga ahli jemaah pengarah Rahana Mohamed, 60, pada tahun ini sebanyak enam buah rumah telah dipilih bagi tujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama warga ahli jemaah pengarah dengan kakitangan pejabat Peladang Segamat dan sekali gus mengadakan ziarah dari rumah ke rumah.
“Walaupun terdapat kekangan masa daripada ahli, namun ianya tidak menghalang budaya saling menziarahi itu diteruskan kerana keseronokan dapat bertemu dengan rakan serta ahli keluarga,” ujarnya.
Ketua rombongan marhaban, Othman Bahari 75, berkata tradisi ziarah dan marhaban ini perlu diteruskan bagi mendidik generasi muda tentang budaya kunjung-mengunjung untuk menyemarakkan lagi sambutan hari raya dan menyemai jati diri serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Beliau juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Segamat turut bersyukur dan gembira kerana sokongan dan dorongan semua ahli berjaya mendapat tempat ketiga Pertubuhan Peladang Terbaik Seluruh Malaysia daripada 279 PPK sempena Hari Penubuhan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia ke-50 tahun baru-baru ini.
-ZS-