Laporan/foto: Noor Zulaikha Mazlan
KOTA BHARU, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Sehingga kini kes jenayah yang melibatkan ‘scammer’ merupakan antara kes jenayah tertinggi dilaporkan di Malaysia.
“’Scammer’ merupakan sebarang bentuk penipuan, melibatkan jual beli hartanah, pinjaman wang berlesen dan penipuan dalam talian.
“Hampir setiap hari pihak Polis Diraja Malaysia menerima aduan berkenaan perkara ini,” kata Pegawai Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan Inspektor Syarifah Noraini Syed Jamaludeen, dalam program taklimat isu-isu semasa bertajuk Jenayah ‘Scammer’ anjuran Jabatan Penerangan Negeri Kelantan telah berlangsung di Dewan Mesyuarat, Wisma Persekutuan,di sini baru-baru ini.
Katanya, kebanyakan mangsa yang dikenal pasti adalah dalam kalangan pesara kerajaan dan warga emas.
“Hal ini kerana kurangnya pendedahan dalam kelompok warga emas ditambah pula dengan kecanggihan peranti masa kini. Hanya dengan satu klik sebarang transaksi wang ringgit boleh dilakukan tanpa perlu menggunakan kad bank.
“Ketakutan melampau merupakan punca utama masyarakat Malaysia mudah ditipu. Kita haruslah cakna terhadap orang sekeliling supaya aktiviti ‘scammer’ dapat dibendung dengan penyebaran maklumat yang tepat berkenaan perkara tersebut,” katanya.
Program tersebut dihadiri 50 orang peserta dalam kalangan penjawat awam yang bertugas di Wisma Persekutuan Kota Bharu.
-ZS-