Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

KFC, Pizza Hut Kini Tawar Menu Rahmah

By 30 Mei 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Rangkaian restoran makanan segera di bawah QSR Brands, KFC dan Pizza Hut kini turut menyertai Inisiatif Payung Rahmah dengan memperkenalkan Menu Rahmah pada harga serendah RM5 dengan hidangan berkualiti premium.

Dua jenis hidangan yang ditawarkan, iaitu seketul ayam, roti ‘butterscotch’ berserta air mineral bagi Menu Rahmah KFC Meal manakala bagi Menu Rahmah Pizza Hut Meal pula adalah Personal Piza berserta air mineral.

Orang ramai kini boleh menikmati hidangan itu di 1,227 rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut di seluruh negara kecuali Lapangan Terbang, Genting Highlands dan Legoland bagi Menu RAHMAH KFC Meal manakala Pizza Hut (PHX) RSA Pagoh dan Genting Highlands bagi Menu RAHMAH Pizza Hut Meal.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, dengan penyertaan KFC dan Pizza Hut itu berjaya menanamkan segala tuduhan dan keraguan yang timbul semasa melancarkan Menu Rahmah.

“Terdapat 3,000 premis makanan yang telah mendaftar secara rasmi dalam Inisiatif Menu Rahmah dan ia membuktikan bahawa inisiatif ini telah dapat menakluk atau bertakhta di hati pemain-pemain industri yang merelakan sebahagian keuntungan mereka untuk dipulangkan kembali kepada rakyat,” katanya ketika berucap melancarkan Menu Rahmah KFC dan Pizza Hut di Jalan Wangsa Delima 1, di sini semalam.

Tambah beliau lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga bercadang untuk menubuhkan Konsortium Rahmah dianggotai oleh semua pemain industri bagi memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk membantu rakyat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands Nechal Khanna, berkata QSR Brands percaya bahawa inisiatif Menu Rahmah ini sangat penting dan tepat pada masanya.

“Ia adalah sebuah program yang pragmatik dan boleh dilaksanakan, dan kami melihatnya sebagai langkah penting untuk membantu menyokong masyarakat dalam waktu yang agak mencabar ini.

“Oleh itu, kami amat berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada masyarakat melalui inisiatif Menu Rahmah,” katanya.

KFC dan Pizza Hut merupakan syarikat ke-3,000 yang secara rasminya didaftar di bawah Inisiatif Rahmah.

Turut hadir Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Bhd Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran Dan Perniagaan KPDN Datuk Rohaizi Bahari.

-ZS-

Tinggalkan komen anda