Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Jabatan Penerangan Malaysia
GOMBAK, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 30 peserta program Kembara Media anjuran Jabatan Penerangan Malaysia mengutip pengalaman baharu apabila berpeluang mendaki Gua Damai, di sini serta disajikan makanan tradisional etnik Mandailing, nasi upah-upah.
Menurut Faliq Lajim, 30, pengalaman mendaki Gua Damai amat menyeronokkan tetapi mengakui laluannya agak mencabar dan licin.
“Walaupun pernah beberapa kali menjalankan tugasan liputan di Gua Damai tetapi kali ini berpeluang mendaki sendiri ternyata menyeronokkan walaupun penat.
“Kepenatan itu pula hilang sebaik saya menikmati nasi upah-upah yang enak yang pertama kali di makan sepanjang hidup saya, katanya yang bertugas di Astro Awani.
Wartawan Majalah Gaya Travel, Hady Armeen, 24, juga turut mengakui pertama kali meneroka Gua Damai walaupun sebelum ini berpengalaman masuk gua di Kelantan, Sabah dan Sarawak.
“Gua Damai ini lebih mencabar berbanding gua-gua lain kerana laluan yang licin, peserta perlu berhati-hati sepanjang masa.
“Nasi upah-upah juga pertama kali saya nikmati di sini, saya ingatkan macam nasi ambeng namun rasanya lebih sedap lagi,” katanya.
Program Kembara Media berlangsung selama empat hari bermula semalam disertai 22 pengamal media massa termasuk media digital daripada 15 agensi seluruh Malaysia.
Kembara Media merupakan aktiviti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia bersama pengamal media massa dalam usaha memperkasa jaringan strategik di antara jabatan kerajaan dan Media Massa.
-ZS-