Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/JBSN Negeri Sembilan
PORT DICKSON, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 160 orang peserta dari institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah di Negeri Sembilan telah menyertai Rakan Muda ‘Rock the Beach’ sempena Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2023 yang diadakan di Pantai Batu 1, di sini kelmarin.
Program anjuran Kelab Belia Konservasi Ekosistem Laut dan Alam Sekitar Bukit Pantai dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) ini bertujuan memupuk kesedaran belia terhadap kesan ekosistem laut sekiranya tidak dijaga.
Salah seorang peserta Nur Aishah Qistina Rozali, 22, berkata program ini berjaya memupuk kesedaran dalam diri betapa pentingnya menjaga kebersihan pantai dan tidak sesuka hati membuang sampah terutamanya di pantai.
“Saya sangat teruja kerana pertama kali turut serta dalam program belia seumpama ini dan ia adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan,” katanya.
Antara pengisian program adalah aktiviti kutipan sampah, taklimat pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem pantai serta sesi bual santai penggunaan sifar plastik sampah di kampus.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSN Syamsul Tahrin Mohd Tahir dan Pengarah Cawangan Pembangunan Kesukarelawan Ahamad Syariffudin Sarmin.
-ZS-