Laporan/foto: Hafizah Rahim (Terengganu)/Unit Foto JaPen Malaysia
KUALA NERUS, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Lebih 25,000 pengunjung daripada segenap pelosok negeri Terengganu hadir memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Dewan Al Mukhtafi Billah Shah UnisZA, Kuala Nerus, di sini kelmarin.
Selain dapat menikmati pelbagai juadah menarik yang disajikan, orang ramai yang hadir tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu dengan pemimpin nombor satu negara.
Maznah Mohamad, 56, dari Padang Nenas yang datang bersama dua rakannya memberitahu dia yang mengetahui mengenai majlis melalui media elektronik gembira dapat melihat sambutan yang meriah daripada pengujung yang hadir.
“Peluang untuk bertemu dengan Perdana Menteri secara bersemuka membuatkan saya teruja selain dapat menjamu makanan yang sedap,” katanya.
Menurut Nur ainni puzai@pauzi, 33, yang datang dari Felda Rasau Ketengah Jaya, Dungun bersama keluarganya, penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani ini menjadi tempat menyatukan semua rakyat kerana semua kaum hadir memeriahkannya.
“Kami sampai kira-kira pukul 7.00 malam dan dapati telah ramai pengunjung yang hadir. Makanan yang disediakan banyak dan sedap.
“Kemudahan seperti ruang solat, tandas dan tempat letak kereta juga memudahkan pengunjung,” katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Terengganu Dr. Ahmad Samsuri Mokthar, Menteri-Menteri Kabinet dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.
-ZS-