Laporan/foto: Dexter Cysonned (Sabah)
RANAU, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Alat muzik tradisional yang terkenal di Sabah iaitu Sompoton tidak mudah untuk dibuat dan perlu kepakaran tersendiri.
Menurut Kowasin Watiman, 59, beliau merupakan orang yang terakhir di Kundasang yang pandai membuat sompoton ini selain dari rakan beliau, Jamirin Jarum.
“Saya mula membuat sompoton sejak umur 30-an lagi kerana meminati alat muzik tradisional.
“Pada mulanya, sompoton ini cuma dimainkan dengan kod muzik yang sangat terhad tetapi selepas tahun 2006, saya berjaya mencipta sompoton yang boleh memainkan hampir semua kod muzik,” kongsinya ketika ditemui di Taman Budaya dan Inovasi Kundasang, baru-baru ini.
Tambahnya, untuk membuat satu Sompoton biasanya mengambil masa lebih kurang empat hari manakala bagi Sompoton yang diubahsuai pula mengambil masa satu minggu.
“Saya berharap agar alat muzik tradisional ini terus digunakan supaya tidak pupus ditelan zaman,” katanya.
-ZS-