Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Johor Online News (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Program Operasi Khidmat Masyarakat Optometri Ke-30 (OPKOM-30) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menarik kehadiran lebih 300 pengunjung di Kampung Sungai Melayu, di sini kelmarin.
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata program satu hari ini turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan mata secara percuma disamping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mata.
“Kami turut membawa satu aset Klinik Optometri Bergerak (KOB) dengan kekuatan tujuh orang doktor pakar dan lebih kurang 70 orang pelajar dari Persatuan Mahasiswa Optometri UKM bagi tujuan pemeriksaan mata secara percuma,” katanya.
Pada program ini juga, pengunjung yang berjaya menjalani pemeriksaan mata akan diberikan cermin mata percuma berdasarkan kelayakan.
Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad.
-ZS-