Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Gandingan Ibu Bapa dan Guru Membentuk Pelajar Cemerlang

By 22 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh 

PASIR MAS, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Ibu bapa dan guru adalah gandingan mantap dalam membentuk generasi pelajar cemerlang. Matlamat mereka sama iaitu menjadikan pelajar berilmu dan berjasa pada keluarga serta negara.

Menurut Pakar Motivasi Keluarga dari Institut Bahasa Antarabangsa, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kota Bharu Dr. Mohd Azhar Abdullah,  ibu bapa dan guru berkait rapat dalam membentuk pelajar cemerlang dari segi akedemik dan akhlak.

“Ibu bapa dan guru yang aktif, peka perkembangan anak-anak akan meningkatkan mutu pembelajaran di sekolah,” katanya di Taklimat Motivasi Keibubapaan Tahun 2023 dan Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2022 di Dewan Sekolah Menengah Ugama (SMU) (A) Mardziah Jabo, di sini pagi tadi.

Sementara itu, bagi pelajar cemerlang 11A, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022, Puteri Aminah Mohd Hanif, 21, dari Kampung Chetok, berkata beliau bangga dan berpuas hati apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM lepas.

“Dengan keputusan ini, dapatlah membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa bersama guru yang banyak membantu memberi galakkan dan tunjuk ajar.

“Diharapkan kejayaan ini menjadi pendorong, pembakar semangat untuk adik-adik saya serta rakan-raka agar belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik.

Muhammad Deraman, 52, seorang bapa dari Kampung Atas Beting, Chetok yang hadir di taklimat tersebut berkata, beliau akan memberi perhatian yang wajar kepada anaknya selepas mendengar ceramah motivasi yang disampaikan.

“Insya-Allah. Selepas ini saya akan memberi perhatian dan mengambil berat pembelajaran anak agar tercapai apa yang dicita-citakan. Pelajaran menentukan masa depan mereka,” katanya bersemangat.

Taklimat ini dihadiri 300 orang guru, ibu bapa dan pelajar sekolah.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Chetok Zuraidin Abdullah dan Pengetua SMU (A) Mardziah Jabo, Tajuddin Mahmood

Tinggalkan komen anda