Laporan/foto: Ramlen Salleh (Labuan)
LABUAN, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Labuan Avian atau Kumpulan Pemerhati Burung Labuan berjaya merekodkan penemuan spesies Burung Belukar Kaki Kelabu atau ‘Slaty Legged Crake’ pada Sabtu lepas di Kampung Bukit Kalam.
Menurut Penyelaras Kumpulan Pemerhati Burung Labuan Noralip Hassanuddin, penemuan itu merupakan rekod kedua dicatatkan di Labuan dan rekod pertama bagi Borneo.
“Slaty Legged Crake adalah sejenis burung dalam keluarga ‘Rallina Eurizonoides’, biasa ditemui di Wilayah Asia Tenggara dan beberapa bahagian di Asia Selatan.
“Spesies ini pernah direkodkan pertama kali pada 6 September 2018 yang ditemui di kawasan padang golf Labuan dalam keadaan tercedera, tetapi penemuan kali ini agak istimewa kerana burung ini ditemui dalam dalam keadaan sihat dan menjalani kehidupan dalam kawasan habitatnya,” katanya ketika ditemui media, di sini pagi tadi.
Tambah beliau lagi, mengikut data burung migrasi di Pulau Labuan pada bulan April hingga Ogos setiap tahun kebanyakan burung datang dari arah negara selatan.
“Penemuan juga ini telah menarik perhatian kumpulan pemerhati burung dari kawasan Borneo terutama dari Sabah dan negara Brunei Darussalam.
“Kepada peminat dan pemerhati burung yang mahu mengikuti perkembangan burung ini boleh melayari Youtube Labuan Avian Group dan kepada yang ingin membuat pemerhatian di lokasi boleh berhubung dengan saya melalui e-mel [email protected],” jelasnya.
-ZS-