Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Penjawat Awam Daerah Jerantut Ikrar Bebas Rasuah

By 8 Jun 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Azrul Azham/Mohd Afiq

JERANTUT, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut bersama semua agensi Persekutan dan Negeri Daerah Jerantut menzahirkan komitmen melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha meningkatkan integriti penjawat awam di daerah ini.

Pegawai Daerah Jerantut Datuk Khairunnissa Aris, berkata pelaksanaan IBR pada hari ini adalah sebagai suatu ikrar dan janji yang dibuat secara sukarela oleh kepimpinan serta warga kakitangan agensi-agensi kerajaan di daerah Jerantut agar lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.

“Usaha untuk membanteras dan memerangi jenayah rasuah bukanlah terletak di atas bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata, namun merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas bersama setiap lapisan masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian Program Pemantapan Integriti Penjawat Awam Daerah Jerantut dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Peringkat Daerah Jerantut.

Terdahulu, majlis IBR di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut dengan bacaan ikrar seramai 440  penjawat awam di daerah ini diketuai oleh Setiausaha Majlis Daerah Jerantut TPr Mohd Khasri Abdullah yang disaksikan oleh Timbalan Pengarah  SPRM Negeri Pahang, Shazleen Mad Noh.

-ZS-

Tinggalkan komen anda