Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Cegah Rasuah Tanggungjawab Bersama

By 18 Julai 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan hari ini amat komited dan berusaha keras menangani gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam dan semua lapisan masyarakat.

Menurut Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Kelantan Rosli Husain, rasuah boleh berlaku di mana-mana melibatkan semua agensi kerajaan dan swasta malah semua lapisan masyarakat tidak terkecuali.

“Amalan rasuah adalah gejala yang merosakkan bangsa dan negara, kita perlu berniat baik dan bertekad menolak rasuah agar negara maju dan mewujudkan keluarga yang lebih sempurna,” katanya di Program Dialog Cegah Rasuah Rezeki Barokah di Dewan Masjid Sultan lsmail Petra, di sini semalam.

Sementara itu seorang peserta yang juga imam muda Masjid Mukim Pasir Genda, Bukit Panau,  Mohd Ibrahim Shafie, 44, berkata program yang diadakan pagi ini amat baik dan satu pendedahan  kepada semua ahli jawatankuasa masjid bagi menyalurkan maklumat bagaimana mencegah rasuah yang menjadi penyakit senyap dalam kalangan  masyarakat.

“Saya rasa bertuah dapat hadir dan mengetahui bagaimana cara membuat aduan jika berlaku rasuah. Setiap aduan boleh disalurkan kepada pihak SPRM untuk tindakan susulan bersama bukti,” katanya.

Bagi guru Sekoklah Kebangsaan Batu Gajah, Hashimah Hj. Awang, 59, berkata pendidikan awal di peringkat sekolah rendah dapat menyemai rasa benci kepada gejala rasuah.

“Para pelajar di sekolah rendah perlu dididik dan diasuh agar membenci rasuah, bermula daripada kecil hingga dewasa,” katanya bersemangat.

Program anjuran SPRM Negeri Kelantan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Sultan Ismail Petra Tanah Merah dan pertubuhan bukan kerajaan Tanah Merah dihadiri 300 peserta  yang terdiri daripada kakitangan awam, ahli jawatankuasa masjid  di sekitar Tanah Merah dan guru-guru sekolah.

Taklimat dan ceramah Pencegahan Rasuah Tanggungjawab Bersama disampaikan oleh Ketua Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Kelantan Penguasa Wan Siti Junaida Ismail.

-ZS-

Tinggalkan komen anda