Laporan/foto: Azimee Abdullah (Barat Daya)
BALIK PULAU, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 yang disertai 60 peserta dengan 16 kenderaan termasuk 14 motosikal kuasa tinggi tiba di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh, Balik Pulau sebagai lokasi kedua di negeri ini setelah perasmian Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (PBKKJG) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Perak.
Saiful Muhaimin Jaafar, 15, Pelajar Kelas Pendidikan Khas SMK Pondok Upeh berkata program seumpama ini dapat menyuntik semangat patriotik dalam kalangan pelajar sekolah.
“Semangat Patriotik dan cintakan negara ini perlu dipupuk sejak daripada kecil dan kita perlu bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini” katanya.
Dianggarkan seramai 1,000 pelajar menunggu ketibaan peserta konvoi dan pelbagai acara menarik disediakan kepada pelajar dan tetamu jemputan yang hadir seperti persembahan tarian joget Malaysia oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Relau, penyerahan Jalur Gemilang oleh peserta tarian singa kepada Ketua Konvoi KMJG, Sabri Said.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya Che Mazlan Che Mat hadir menyempurnakan majlis tersebut dan membuat pelepasan konvoi bersama Pengetua SMK Pondok Upeh Hassan Din.
-ZS-