Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Dua Panda Gergasi Dihantar Pulang ke China Esok

By 28 Ogos 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Facebook Zoo Negara

HULU KELANG, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Suasana sedih menyelubungi Zoo Negara yang bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dua panda gergasi, Yi Yi dan Sheng Yi yang akan dihantar pulang ke China esok (29 Ogos).

Zoo Negara memuat naik status di Facebook berkata, Yi Yi dan Sheng Yi telah menjadi sebahagian keluarga mereka sejak dilahirkan pada 14 Januari 2018 dan 30 Mei 2021.

Katanya, panda tersebut daripada keturunan Xing Xing dan Liang Liang sentiasa menghiburkan pengunjung dengan telatah mereka.

“Telatah mereka yang suka bermain, raungan lembut dan kehadiran yang menawan mengembirakan setiap orang yang hadir.

“Dari langkah pertama mereka yang teragak-agak hingga pengembaraan nakal mereka, setiap saat adalah bukti kegembiraan buat mereka di sini,” menurut laman Facebook berkenaan.

Menurut kenyataan itu, tarikh 29 Ogos akan menjadi kenangan pahit manis bersama Yi Yi dan Sheng Yi yang akan kekal dalam ingatan.

“Kami mengucapkan selamat tinggal kepada panda yang luar biasa ini. Kami akan simpan kenangan, tawa dan kasih sayang yang mereka bawa.

“Kami bersyukur atas peluang bersama mereka dan terima kasih Yi Yi dan Sheng Yi,” kata kenyataan itu.

Yi Yi dan Sheng Yi merupakan anak kepada pasangan Xing Xing dan Liang Liang yang merupakan panda gergasi yang dipinjamkan  selama 10 tahun pada 21 Mei 2014 sempena ulang tahun ke-40 hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Selain Yi Yi dan Sheng Yi, pasangan itu turut melahirkan anak pertama, Nuan Nuan yang panda berkenaan telah dihantar pulang pada 2017 diikuti Yi Yi dan Sheng Yi pada Selasa (29 Ogos 2023).

Penghantaran pulang Yi Yi dan Sheng Yi ke China dilaksanakan sebagai mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Malaysia dan China.

-ZS-

Tinggalkan komen anda