Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kellie’s Castle, Hab Pelancongan Terkenal di Batu Gajah

By 17 Ogos 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kalaimani Munian/Muhammad Nashran (Kampar)

IPOH, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Kellie’s Castle menjadi antara lokasi wajib dikunjungi tatkala berkunjung ke Batu Gajah, Perak.

Seni bina bangunan berupa rumah agam yang ditinggalkan lebih 100 tahun itu pastinya menyimpan 1001 kisah dan sejarah seterusnya menarik minat pelancong untuk meneroka keistimewaannya.

Menurut Pengurus Operasi Kellie’s Castle Abdul Hakim Muhaimin, 30, ramai orang berfikiran lokasi ini menyimpan kisah mistik ekoran bangunan ini ditinggalkan tanpa disiapkan sepenuhnya.

“Tidak dinafikan ada antara pengunjung pernah merasai pengalaman tersebut dan perkara itu juga menjadi faktor tarikan pengunjung untuk ke sini.

“Selain itu, Kellie’s Castle juga popular dalam kalangan pasangan pengantin untuk mengabadikan kenangan mereka menerusi aktiviti penggambaran luar lokasi kerana keunikan struktur di samping pemandangan semulajadi memberi hasil gambar yang cantik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Abdul Hakim, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri bagi meningkatkan kehadiran pengunjung seperti penambahbaikan dari segi pemulihan instruktur bangunan, penyediaan kemudahan dan promosi.

“Menariknya, pada bulan Oktober setiap tahun, kita akan menganjurkan ‘Night Tour’ pada hari Sabtu dan Ahad bagi merasai pengalaman seram di setiap pelusuk bangunan ini,” katanya.

Kellie’s Castle beroperasi setiap hari bermula pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang dengan bayaran masuk RM5 (dewasa), RM3 (kanak-kanak) dan RM10 (pelancong asing) serta tambahan RM2 untuk tempat letak kereta.

-ZS-

Tinggalkan komen anda