Laporan/foto: Zayana Isa
KUANTAN, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Penulis prolifik Rahman Haji Yusof, 83, tampil dengan tiga karya terbaru hasil sentuhan beliau.
Tiga karya tersebut ‘Menunggu Hujan Turun’, ‘Taqdir’ dan ‘Kumpulan Puisi: Kutinggalkan Semalam Dalam Kenangan’ menyajikan kandungan yang pelbagai seperti memperlihatkan integrasi kaum, kisah kehidupan yang begitu sebati dengan masyarakat dan wadah kasih-sayang dalam puisi beliau dan diterbitkan oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP).
Mengenali figura ini dengan lebih dekat, Rahman, berkata beliau mula menulis sejak tahun 1970 hingga sekarang dan antara pencapaian terbaik beliau adalah Hadiah Sako 3.
“Saya mula menulis pada bulan April 1970, waktu itu umur saya 30 tahun yang mana saya mulakan dengan menulis cerpen,” ujar anak kelahiran Kuala Bera ini.
Hingga kini, beliau telah menulis 100 buah cerpen dan lapan buah novel, yang mana tiga daripada novel tersebut pernah memenangi anugerah.
“Pada tahun 2007, saya memenangi tempat kedua dalam sayembara Hadiah Sako 3 Bagi Novel Nasional melalui novel ‘Tidak Seindah Impian’,” katanya.
Sebagai seorang yang berpengalaman, beliau menasihatkan kepada anak-anak muda untuk menceburi bidang penulisan dan menyertai persatuan yang ada.
Karya-karya Rahman boleh ditemui di reruai Dewan Persuratan Melayu Pahang di Pesta Buku Pahang 2023 yang bermula pada 21 hingga 27 Ogos ini.
-ZS-