Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Asrul Affandi Awang Saflie (Sabah)
TAWAU, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Terdapat peningkatan penyertaan dalam kalangan pelajar yang ingin menyertai Kelab Malaysiaku di daerah Semporna tahun ini.
Perkara ini dinyatakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Semporna iaitu Ibnu Haji Jaani ketika berucap pada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 (KMJG) di SMK Bugaya di sini, pada Jumaat.
“Ini menunjukkan bahawa aktiviti yang dijalankan berjaya menarik minat pelajar untuk menyertai kelab ini.
“Antara aktiviti yang dijalankan adalah Demokrasi Kita, Kembara Kelab Malaysiaku dan Wacana Kemerdekaan,” ujarnya.
Tambahnya, Kelab Malaysiaku di bawah naungan Jabatan Penerangan berperanan untuk memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar kerana merekalah yang akan menerajui negara pada masa hadapan.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Semporna, Mohd. Syah Haji Kisun menyeru para pelajar memanfaatkan sebaiknya kemudahan pembelajaran yang disediakan kerajaan.
“Sebagai generasi abad baru, para pelajar hendaklah menggunakan peluang dan memanfaatkan ilmu untuk mencapai kejayaan akademik dan kehidupan,”
“Gunakan ilmu itu sebaik mungkin untuk diri sendiri, keluarga dan negara. Jadilah generasi yang bersemangat patriotik serta setia kepada negara,” katanya.
SMK Bugaya merupakan lokasi persinggahan pertama konvoi KMJG 2023 di daerah Semporna.
-ZS-