Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Junaidi Reduan mengajak warga Kuching mencapai matlamat yang sama mengekalkan kelestarian alam sekitar bandar raya tersebut.
“Pihak DBKU dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sentiasa mengajak setiap individu dan kumpulan sosial penduduk Kuching untuk mempunyai satu matlamat yang sama iaitu memastikan kelestarian alam sekitar bandar raya Kuching yang indah tidak dirosakkan oleh aktiviti yang mencemar air, udara dan tanah kita.
“Usaha-usaha DBKU dan MBKS akan menjadi sia-sia jika warga kota tidak dilibatkan bersama di dalam setiap inisiatif serta program penjagaan alam sekitar yang telah dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Memperingati Hari Bandaraya Kuching ke-35 bertema ‘Inklusiviti Komuniti ke Arah Bandaraya Lestari’, di sini kelmarin.
Pada 1 Ogos setiap tahun, DBKU dan MBKS secara bergilir akan menganjurkan program tersebut dan pada tahun ini merupakan giliran DBKU.
Menurut seorang penjawat awam Etty Kaesuma Abdul Rahman, 51, dia sangat berpuas hati dengan perkhidmatan DBKU dalam menjaga kebersihan terutamanya di kawasan perumahan.
“DBKU turut menyediakan landskap yang sangat indah dan tersusun kemas.
“Diharap agar DBKU dapat terus memberi perkhidmatan yang terbaik secara berterusan,” katanya.
Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang.
-ZS-