Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

FAMA Manjung Edar Beras Penuhi Keperluan Penduduk

By 20 September 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nurul Habibah Hassan/Muhammad Irsyad (Manjung)

SERI MANJUNG, 20 Sep (Malaysiaaktif) – Penduduk di sekitar bandar ini tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan bekalan beras putih tempatan (BPT) ketika mengunjungi program jualan BPT yang berlangsung di Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR), di sini semalam.

Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Manjung itu bertujuan memenuhi keperluan penduduk di samping mengurangkan beban mereka untuk mendapatkan bekalan beras tempatan ekoran isu kekurangan bekalan BPT baru-baru ini.

Pesara Hisyamudin Ahmad Zaki, 62, berkata beras tempatan amat sukar diperolehi di pasaran justeru inisiatif FAMA sangat dipuji dan perlu diteruskan kerana usaha tersebut membantu pengguna.

“Saya juga berharap FAMA dapat mempelbagaikan lagi jualan barangan asas lain seperti gula, minyak paket dan telur dengan harga yang lebih murah,” ujarnya ketika ditemui.

Rata-rata pengunjung menyatakan rasa puas hati dan menyifatkan FAMA sebagai mesra rakyat dan prihatin terhadap beban yang ditanggung oleh masyarakat.

Terdahulu, semalam Pengarah FAMA Perak Noorsham Ramly dan Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Perak Mohd Hidzir Selamat menerima agihan 10,000 kampit beras 10kg bagi fasa pertama untuk negeri ini.

FAMA Perak berperanan membuat edaran BPT melalui pusat-pusat operasi, outlet peruncitan FAMA dan Program Jualan Agro Madani untuk memenuhi keperluan penduduk.

-ZS-

Tinggalkan komen anda